Untungnya ada cuti sempena pilihan raya. Selain menunaikan
tanggungjawab kepada agama, saya manfaatkan cuti tersebut untuk hilangkan stress
sebelum exam. Kali ni semua ahli keluarga balik tak kira yang mengundi
ataupun tidak.
Kesempatan ini kami gunakan untuk bertukar-tukar pengalaman
mengaji di perantauan. Masing-masing berebut untuk bercerita, sebagai abang
yang ‘prihatin’ saya lebih banyak jadi pendengar yang setia sahaja. Antara yang
menarik, pengalaman adik saya yang mengaji di Alor Setar.
Satu hari, gurunya Ustaz Rais masuk ke kelas dengan satu set
induksi yang sangat mengundang perhatian. Kalau pun tidak lebih hebat dari student
IPG, saya kira setaraf.
Dia masuk ke kelas dengan kedua belah tangan menghunus
parang panjang yang biasanya tokwan kita simpan dibawah almari sahaja zaman
sekarang. Tak cukup dengan itu, pinggangnya disisipkan dengan sepotong kayu
yang agak tebal. Wah, memang suspens.
“Anak-anak, tengok sini. Di tanganku ada dua bilah parang,
satu telah aku asah dengan sangat tajam sedangkan yang satu lagi tumpul dan
berkarat,” sambil kayu yang tadinya diikat kemas dipinggangnya telah dilepaskan
ke atas lantai.
Suasana khali. Senyap. Setiap anak mata dalam kelas tersebut
tidak melepaskan setiap satu pun gerak geri yang dilakukan Ustaz Rais. Bahkan
ada yang sampai ternganga luas begitu khusyuk menanti pertunjukan yang akan
dilakukan ustaz berketurunan Pattani-Kelantan ini.
“Nah, sekarang cuba lihat.” Ustaz Rais mengambil parang
tajam yang telah diasah sambil memegang tongkat kayu disebelah tangan kiri.
Parang itu diangkat tinggi melepasi ubun kepalanya. Bila-bila masa kalau
dihayun saja parang itu, pastilah akan putus kayu yang dipegangnya.
Semua orang menunggu jurus ustaz yang seterusnya. Tetapi,
sedetik sebelum menyentuh kayu, parang itu terhenti diudara. Ustaz Rais sekonyong-konyong
mengurungkan niat memperlihatkan jurusnya dan menyapu pandangan ke arah kelas.
Aneh, tiba-tiba beliau berbicara mengenai budu yang mereka makan
pagi tadi sampai mengundang tawa. Dengan dialek Kelantan bercampur loghat
Kedahnya yang melucukan, seisi kelas hampir terlupa episod parang panjang dan bongkah
kayu tadi.
Namun, akhirnya beliau mencapai kembali parang tersebut dan
mencantas kayu yang sudah tersedia, tanpa melihat ke arah kayu. Secara
bersahaja. Sambil mulutnya terus bercerita tentang budu. Terdengar suara
berderak ketika parang mencapai sasaran. Tapi kayu tersebut tidak juga
putus-putus. Murid-murid terus menanti dengan sabar.
No comments:
Post a Comment