Tuesday, July 3, 2012

Dr. Morsi menang turut beri kesan kepada pelajar guru i4p

Surah Ali Imran; Ayat 140

###

Setelah sekian lama pilihan raya Mesir berlangsung, akhirnya kita menerima berita kemenangan Dr. Morsi sebagai presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan. Saya mengikuti detik pengumuman rasmi tersebut melalui siaran langsung di internet.

Sejurus sahaja 'SPR' (meminjam nama suruhanjaya pilihanraya malaysia) mengumumkan kemenangan Dr. Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah, berderet-deret status rakan-rakan di 'facebook' menyatakan perasaan gembira & meraikan kemenangan ini.

Penuh dengan ucapan takbir, tahmid & sebagainya. Ucapan tersebut adalah dari seluruh dunia. Dari Mesir, Jordan, UK, Jepun, Kelantan, Johor, UIAM, USM dan termasuk juga rakan-rakan pelajar guru di IPG KPP. <=== (",) Oh, mengapa i4p juga??

Seluruh dunia islam menantikan kemenangan ini. Kenapa ia diraikan? kerana mereka orang Islam. Dr. Morsi juga orang Islam. Bukankah mendoakan kebaikan untuk saudara seislamnya itu satu kebaikan? Ia dituntut oleh agama bukan.. Ya , itu memang betul.

Tapi Ahmed Syafik juga orang islam, kenapa sebahagian besar umat islam di seluruh dunia termasuk 51% ++ pengundi Mesir itu memusuhi mereka? Kenapa pelajar guru di i4p semuanya update status di 'facebook' mendoakan & meraikan kemenangan Dr. Morsi sahaja, tidak saudara islam mereka yang satu lagi, Ahmed Syafik?

Kerana dia adalah sekutu Hosni Mubarak yang zalim itu. Memang namanya muslim tapi muslimnya adalah muslim yang tidak baik. Yang tidak menjunjung syariat Allah bahkan menentangnya. Orang sebegitu memang patut kita tentang bahkan siapa yang berdiam diri tidak memberi undi kepada dua-dua pihak itu juga dikira zalim. Kerana ia tidak menyokong yang hak sekaligus membuka peluang kepada yang batil untuk menang.

(tapi hairan juga ya, lebih kurang 12 juta pengundi Mesir masih mengundi untuk puak-puak Hosni Mubarak itu?  #takpalah, sekurang-kurangnya kita ingat Allah kata yg mafhumnya: Sesungguhnya kamu tak boleh nak bagi hidayah kat siapa2 yg kamu suka. Allah saja yang boleh beri hidayah# )

Ya, itulah antara sebabnya pelajar guru yang cakna dengan perkembangan agama islamnya begitu seronok menerima berita baik ini. Tapi mereka yang menyusuri galur sejarah yang panjang menemui sesuatu yang lebih daripada itu. Ia adalah suatu perkara yang menggembirakan. Namun kadang-kadang mencemaskan.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran; ayat 140 (ayat mukaddimah saya di atas)
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka Sesungguhnya kaum (musyrik Yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka Yang sama (dalam peperangan Badar). dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan Dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang tetap beriman (dan Yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang Yang mati Syahid. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang Yang zalim.

Hidup ini ibarat roda, kadang-kadang di atas dan kadang-kala di bawah. Maka para pejuang Islam itu pada suatu ketika Allah menguji mereka dengan tekanan daripada pemerintah, disiksa dan dizalimi, ditekan dengan begitu dahsyat dan hebat. Itulah zaman dimana putaran roda itu giliran mereka berada dibawah.

Langit sejarah yang luas menceritakan bagaimana agungnya zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. sehingga kewafatan baginda, kemudian diteruskan oleh para sahabat Khulafa Ar-Rasyidin. Kemudiannya disambung lagi oleh pemerintahan khilafah Islamiah bahkan pada kemuncaknya mereka berjaya menguasai 2/3 dunia. 

Nama-nama seperti Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh dan lain-lainnya amat menggerunkan mereka yang menentang perjuangan Islam. Pada masa itu putaran roda dunia menunjukkan Islam berada di atas. 

Roda terus berputar menyaksikan bagaimana kemudian Sistem Khalifah runtuh dan tewas satu persatu. Yang terakhir adalah di Turki. Mustafa Kamal Atartuk Laknatullah menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menandakan giliran kemenangan itu telah bertukar. 

Umat Islam terus ditindas ketika itu, secara berterusan. Ulasan satu perenggan nescaya tidak mampu menggambarkan keadaan umat Islam ketika itu saat ia berada dibawah. 

Ujian Allah itu adalah dalam pelbagai bentuk samada kesenangan ataupun kesusahan. Siapa yang berjaya melepasi ujian tersebut merekalah orang yang berjaya.

Kita terus menunggu putaran roda yang terus berjalan. Bilakah akan sampai pula giliran kemenangan bagi pejuang Islam. (adapun secara hakikinya pejuang Islam sentiasa menang dengan takrifan menang itu sebenarnya adalah mencapai taqwa).

Masa terus berlalu, Palestin masih belum dapat dibebaskan. Orang-orang yang zalim terus menguasai pemerintahan di mana-mana negara sehinggalah pada suatu ketika tanda-tanda kemenangan itu dilihat hampir tiba.

Jemaah Islam di Algeria, Front Islamic Salvation (FIS) pada tahun 90-an hampir mencapai kemenangan tersebut namun akhirnya dinafikan dan kumpulan mereka diharamkan. Pada awalnya sebahagian pemerhati politik dunia melihat kebangkitan Islam di Algeria itu adalah tanda kebangkitan Islam di tempat-tempat lain namun akhirnya ia tidak berlaku. Penindasan umat Islam terus didengari saban hari. Palestin tetap juga belum merdeka.

Sehinggalah mutakhir ini kita melihat gerakan islam antaranya di Turki melalui kumpulan mereka yang dikenali sebagai AKP dan harakah islamiyyah di Indonesia, PKS berjaya menguasai pemerintahan di negara masing-masing.

Itulah yang ditunggu-tunggu di dalam dunia Islam serta menjadi kebimbangan Barat apabila yang terbaru Ikhwanul Muslimin, (IM) berjaya mendapatkan pemerintahan Mesir menggantikan sekutu mereka Hosni Mubarak. (disamping tergulingnya sekutu mereka di negara-negara Arab lain dalam fenomena Arab Spring)

Dengan kemenangan IM ini dilihat roda putaran Islam itu semakin hampir untuk berada di atas. Dr. Mohamed Morsi sudah menyatakan kesediaannya untuk memberi komitmen terhadap isu Palestin & umat Islam serta disokong oleh Erdogan di Turki. 

Itulah sebabnya mengapa bukan hanya orang-orang Islam di Mesir sahaja yang menunggu-nunggu kemenangan ini. Kemenangan ini milik seluruh umat Islam. 

Malaysia tidak ketinggalan menyaksikan Islam semakin diagungkan oleh penganutnya. Gerakan Islam di Malaysia semakin mendapat tempat dengan bukti sokongan yang mereka tunjukkan semakin meningkat. Carilah apa-apa sumber yang anda yakini untuk menguatkan kenyataan saya itu.

Apabila roda Islam itu semakin berputar menuju puncaknya, maka berpautlah dengannya. Mereka yang berada bersama-sama dengan perjuangan Islam ini pastinya akan beruntung. Usahakanlah untuk berada bersama dengannya.

Masuk dan tumpanglah perjalanan ini kerana ia menuju kepada puncak putaran yang ditunggu-tunggu sekian lama. Roda putaran kemenangan Islam tidak meletakkan kampus di Bukit Combee sebagai kawasan berkecuali yang tidak terlibat dengan arus ini. Pelajar guru di i4p patut sedar bahawa Islam semakin bangkit di sekeliling mereka.

Maka sesiapa yang berada bersama gerakan Islam nescaya mereka menuju kemenangan dan keuntungan. Justru, apakah gerakan Islam di kampus ini yang patut kita bersama-sama mereka? Tentulah Persatuan Agama Islam, PAI.

Bersamalah dengan Islam dan gerakan ini. Mereka yang terus menjauhkan diri, segan dan punya banyak alasan untuk menyisihkan diri akan berada dalam kerugian. Mereka yang terus berseluar pendek main bola, couple tanpa hubungan yang sah, bergaduh sesama sendiri, tinggal solat dan sebagainya tidak akan berfaedah untuk mereka.

Perubahan lanskap politik dunia memberikan pengajaran buat kita untuk terus melakukan perubahan. Kebenaran semakin hampir untuk berada di puncaknya dan kebatilan akan tewas! Islahkan diri anda dan orang yang anda sayang. 

Firman Allah dalam Surah Ali Imran; Ayat 137

137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah Yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah Bagaimana akibat orang-orang Yang mendustakan (Rasul-rasul).

Wallahua'lam...



2 comments: