Tuesday, July 31, 2012

Kisah Ramadhan Masa Dulu


ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

183. Wahai orang-orang Yang beriman! kamu diiwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.


*******


Hari pertama Ramadhan aku pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama keluarga. Pada satu ketika, ayahku bertanya apa yang PAI susun untuk Ihya' Ramadhan? "Kami ada buat program Badar Al-Kubra. Majlis memperingati peristiwa Perang Badar yang berlaku dalam bulan Ramadhan". Kata ayahku cuba bertukar-tukar pendapat.

Oh, aku tersentak...baru teringat kisah perang Badar yang agung itu berlaku dalam Ramadhan rupanya! Aku cuba recall semula maklumat-maklumat Sirah yang pernah dipelajari kecil-kecil dulu. Tarikh perang Badar adalah 17 Ramadhan 2Hijrah. Nombor yang sentiasa diingati adalah tiga.satu.tiga. Itu jumlah askar Nabi Muhammad yang selalu ditekankan ustazah supaya dihafalkan. Aku terus berfikir cerita perang itu...
 *

Masa di kampus, aku selalu ikut member2 yang al-hafiz jadi tok imang jemputan di masjid dan surau sekitar Bukit Combee ni. Satu hari tu, ikut Tn Imam Zahid Fahmi yang bertugas di Surau Polis Batu Uban. Selepas Terawih, ada tazkirah yang disampaikan oleh Ust. Irwan. Memang best, (Zahid tentu senyum kalau ingat tazkirah tu... "sesungguhnya aku sedang berpuasa", kalau taaakk..:) 

Hari tu sekali lagi aku diperingatkan bagaimana hebatnya pejuang Perang Badar yang menentang 1000 tentera Quraisy. Ustaz tersebut menggambarkan bagaimana suasana perang yang dahsyat itu. Bayangkanlah, ia berlaku ketika para sahabat sedang berlapar puasa. Tambahan pula, masa tu para sahabat tak setting pun nak pi berperang. Tak bawa apa-apa kelengkapan perang pun macam senjata dsb. 

Akhi, berperang bukan macam lawan bola ada masa limit 90++ minit, kalau main kasar ada pengadil, bila penat ada player lain boleh ganti. Peperangan atas dasar Aqidah ini meletakkan tengkuk di hujung pedang, pelaburannya adalah nyawa.

Aku juga sempat membelek-belek akhbar Harakah baru-baru ni. Tentunya dalam keluaran Edisi Ramadhan, banyak input yang boleh diambil. Seorang kolumis sasteranya menyenaraikan beberapa peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadhan dulu, yang semuanya itu dicoret dengan tinta emas oleh mereka yang terbukti tinggi tahap iman dan takwanya.

Lihatlah bagaimana cerita perang Khandaq yang persiapannya dilakukan pada bulan orang berpuasa. Kita mungkin boleh senyum bangga mendengar kebijaksanaan mereka menggali parit sebagai strategi perang, Tapi keringat yang diperah pada ketika itu mesti tak sama dengan keringat kita yg cuma nak menghabiskan bacaan kisah perang tu. Para sahabat menunjukkan kepada Nabi Muhammad perut mereka terpaksa diikat dengan 2 ketul batu bagi menahan lapar. Baginda Nabi menunjukkan pula pada perutnya ada 3 ketul batu yang diikat.  Allahu Allah...

Sekali lagi akhi, menggali al-Khandaq (parit) bukan macam korek tanah mencari cacing, mereka menggali di atas tanah keras berbatu sedalam kira-kira tak lepas untuk para musuh melepasinya. Ia digali mengelilingi kota Madinah. Tak pernah dibuat dek orang Arab sebelum tu. Bayangkanlah, aku tak dapat nak rasa betul2 macam mana yang pejuang-pejuang tu rasa.

Pada 20 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah, terjadinya revolusi pembukaan kota Mekah serentak dengan penghancuran berhala. Nabi s.a.w. keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka puasa di suatu tempat yang dinamakan Asfan. Aku tak pasti kalau Googling jumpa ke tak tempat ni. 

Dalam catatan sejarahwan, Ibnu Ishaq katanya penaklukan Mekah itu terjadi pada 10 malam akhir Ramadhan. Baginda mengutus Khalid Al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa', dan lainnya merobohkan Manat.

Itu baru sikit, belum lagi aku ceritakan bagaimana kisah Tariq bin Ziyad dan 12ribu askarnya menentang 90000 kuffar di Sepanyol. Babak yang sentiasa diingati adalah apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan askar-askarnya membakar kapal-kapal mereka sebelum pi berperang dan meletakkan pilihan kepada mereka untuk mati lemas atau syahid di permedanan.

Sejarah emas dalam bulan Ramadhan tak berhenti setakat tu akhi, banyak lagi kisah orang-orang dulu yang melalui derita perang dan jihad dalam bulan Ramadhan. Mereka menang perang dengan al-kuffar yg menentang Islam. Mereka membuka kota kemegahan. Mereka bila berpuasa rupa-rupanya lebih berganda lagi kuatnya. Masa bulan Ramadhan lagi bertambah semangat, usaha dan pengorbanan.  Sesuailah bulan ini dipanggil bulan berjihad.

Tapi aku jadi malu. Bila sampai giliran kita untuk melakar sejarah ini, jihad kita cumalah jihad melawan nafsu tidur.  Perang kita mungkin cuma memerangi nafsu yang nak makan macam2 ketika berbuka. Kejayaan yang nak dibanggakan takkanlah hanya usaha mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran jer?? Oh, malunya. Sekadar itu sahajakah jihad kita?

Tuesday, July 24, 2012

Banyakkan ber'facebook' Ramadhan kali ini

Tahniah dan syabas diucapkan kepada rakan-rakan sekelian kerana berjaya sampai ke bulan Ramadhan pada tahun ini. Sebelum tu, saya nak tanya apakah perasaan kita bila mendapat tahu kerajaan telah pilih kita untuk sambung belajar di institut ni masa mula-mula masuk dahulu?

Dengan perasaan yang kita alami itu, seharusnya kita rasa lebih lagi bila mendapati Allah telah pilih kita untuk masuk Universiti Ramadhan yang Tn. Pengarahnya adalah Allah s.w.t. sendiri.

Bukan semua orang terpilih. Ada kenalan atau jiran kita sendiri meninggal dunia sebelum sampai Ramadhan. Dia tidak terpilih. Ada juga yang masuk Universiti Ramadhan tapi bukan sebagai pelajar. Mungkin mereka tumpang lalu sahaja.

Para sahabat dulu bila sampai sahaja bulan Ramadhan mereka saling memberikan ucapan tahniah, mereka sangat seronok dan rasa terharu.

*Bila saya tulis sahabat dalam konteks ayat tadi, maksudnya adalah para sahabat Nabi s.a.w. Perkataan itu adalah istilah bagi mereka yang beriman sempat hidup zaman Rasulullah dan sempat bertemu dengan baginda.

Jadi dalam bulan Ramadhan ini banyak amalan-amalan sunat yang Nabi buat, dan para sahabat buat. Bulan Ramadhan bukan bulan puasa sebab nanti akan nampak macam bulan untuk berpuasa sahaja. Sedangkan dalam bulan ini dianjurkan untuk kita buat lebih dari sekadar berpuasa.

* Tentu persepsi kita akan jadi lain bila semua orang lazimkan menyebut bulan Terawih, atau bulan qiyamullail atau bulan tadarus. Boleh juga kalau hendak dicuba. Tukarlah istilah bulan puasa itu kerana ia sesuai untuk zaman kanak-kanak sahaja.

Kita akan selalu membaca al-Quran, solat sunat & terawih, mendengar tazkirah, dan sebagainya dalam bulan ini. Sepertimana kebiasaan. (tapi hati-hati jangan sampai ibadat kita jadi ‘kebiasaan’! bimbang nanti jadi adat) Nasihat Yusuf Al-Qaradhawi ‘kun rabbaniyyan wa la takun ramadhaniyyan’.

Saya tergerak untuk menambah 1 lagi amalan kita dalam bulan Ramadhan kali ini. Apa yang saya nak cadangkan adalah sesuatu yang Nabi tidak pernah buat pun dulu. Iaitu amalan ber’facebook’. Bila disebut amalan yang Rasulullah tak buat, maka orang akan kata ia amalan bid’ah. Ya, memang ia amalan bid’ah pun. Tapi yang saya nak ajak ini bid’ah yang hasanah.

*Bid’ah terbahagi kepada dua, iaitu bid’ah hasanah & bid’ah mazmumah/dholalah. Inilah menurut Imam Syafie. Bid’ah hasanah itu perkara baru yang tidak menyalahi al-Quran & sunnah manakala bid’ah mazmumah adalah sebaliknya.

Itupun kalau ia hendak disebut amalan bid’ah. Adapun yang saya maksudkan bid’ah itu cumalah bid’ah dari segi bahasa sahaja. Amalan ber’facebook’ ini Nabi tidak buat dulu maka ia dikira perkara baru tapi intipati daripada amalan ber’facebook’ tersebut masih perkara yang Nabi s.a.w. buat.



Kenapa saya mengajak untuk kita menambah amalan ber’facebook’ Ramadhan ini? Sebab daripada pengalaman saya bila buka facebook dalam bulan ni yang akan keluar atas wall penuh dengan tazkirah dan nasihat oleh friends saya.

Semua jenis tazkirah ada. Petikan ayat al-Quran, hadith, ada pesanan ulama’, ada yg share kata-kata ustaz & ikon islam dan macam-macam lagi. Sangat menarik. Apabila berada dalam Ramadhan ini lebih bervariasilah nasihat-nasihat yang saya terima.

Buka facebook dah jadi macam buka majalah Solusi bahkan ini lebih warna-warni dan interaktif. Kalau anda tidak dapat rasa pengalaman yang saya dapat ini maknanya friends di sekeliling anda dipercayai bukanlah kawan anda yang sejati.

Anda tidak dapat nasihat yang berguna. Anda tak diperingatkan tentang azab kubur. Kawan-kawan di sekeliling kita bila dia tak dapat tolong sejak didunia lagi untuk bawa kita jadi baik, akhirat nanti bukan sahaja dia tak tolong kita malah lebih pada itu mungkin dia yang akan heret kita masuk neraka.

Mafhum mukhalafahnya, kita juga jadi kawan pada kawan-kawan kita. Oleh itu, kita sendiri juga sepatutnya kena ada bagi nasihat pada mereka. Saya kira laman facebook telah membuka laluan kepada kita untuk mudah berkongsi hal-hal kebaikan. Cuma share ataupun like perkara berfaedah sahaja kita dah melabur saham yang sangat tinggi. Sangat senang!

Nabi Muhammad kata sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. So, cara kita sampaikan perkara bermanfaat itulah yang jadi intipati kepada amalan ber’facebook’ yang saya anjurkan untuk kita amalkan dalam bulan keberkatan ini. Bulan yang bila kita melabur nilai sahamnya lebih tinggi dari bulan yang lain.

Generasi kita generasi facebook. Oleh itu saya tidak bercadang untuk menghalang tabiat generasi ini cuma berhasrat melorongkannya kepada penggunaan yang betul. Teringat pesan Saidina Umar Al-Khattab, “ajarlah anakmu sesuai dengan zamannya”.


Monday, July 16, 2012

Senamrobik 1 Malaysia cuba jadikan saya penganut sekular

Sedia maklum kerajaan Bien telah membeli 1 jam daripada waktu belajar rakyat di bawah kementeriannya Kementerian Pelajaran Malaysia tempoh hari. 

Semua warga KPM di peringkat sekolah, matrikulasi dan IPG disuruh menjayakan program senamrobik 1 Malaysia. 

Mereka mahu orang melihat kejayaan mereka dengan tercatatnya amalan tersebut dalam buku rekod Malaysia. Walaupun tujuannya dilihat agak bodoh tetapi ia masih boleh mendatangkan sedikit hasil yang baik sepatutnya. Orang kata setiap perkara ada pro & cons’nya.

Arahan untuk menjayakan program tersebut turut diterima oleh IPG KPP. Semua warga di puncak Bukit Combee diwajibkan menyertai program ini. Semua maksud saya pelajar guru Muslim & Non-Muslim.

Saya agak bersemangat untuk menjayakannya. Ia bukan suatu yang salah. Bahkan rakan-rakan saya sanggup ke pasaraya malam sebelum senamrobik tersebut untuk menyediakan kelengkapan terbaik seperti seluar track dan stoking baru!

Ini tanda sokongan baik yang diberikan. Saya juga sempat berkongsi di facebook gambar Tuan Guru Nik Aziz melakukan senamrobik bagi membuktikan acara sebegini tidak dihalang oleh Islam. 

(Tg Nik Aziz adalah ulama’ & menjadi sumber rujukan umat Islam di Malaysia. Adapun syari’at & sumber hukum Islam yg utama adalah Al-Quran & hadith, kemudian ijmak ulama’ & qias)

Tapi apa yang berlaku pada hari kejadian adalah sesuatu yang mengecewakan. Instuctor adalah perempuan yang berbogel (maaf cakap). Peserta dihadapannya bercampur lelaki dan perempuan. Semuanya diminta menari dan terkinja-kinja di atas padang diiringi muzik.

Nampaknya mereka memisahkan aktiviti senamrobik dengan syari’at Islam. Inilah yang dinamakan sekular. Islam beri untuk buat senamrobik tapi ada caranya. Islam bukan agama ritual. Islam adalah cara hidup dan senamrobik pun adalah satu daripada aktiviti dalam kehidupan. 

Apabila bersolat mereka ikut apa yang ustaz ajar, bila puasa pandai sahur sebelum subuh dan buka puasa selepas azan Maghrib. Maka bila nak bersenam pun ikutlah bagaimana yang Islam ajar.  Tapi ini tidak berlaku.

Mereka bila nak bersenam ikut cara Barat, cara orang kafir bahkan mereka jadi alat propaganda pulak. menyemai sekularisme kedalam jiwa insan-insan yang akan mendidik generasi 1 Malaysia akan datang.

Mereka berlakon supaya aktiviti sekular ini dilihat tidak menjadi suatu kesalahan. Dapatan saya, sekurang-kurangnya tiga jarum telah dikesan menyuntik secara halus fahaman sekularisme kepada saya.

Komen dari rakan JPP kepada saya yang ayatnya seperti dia juga sebahagian dari yang terlibat dalam melaksanakan program ini. “Minta maaflah ye, kita tak dapat nak puaskan hati semua orang.” Jadi program bernada maksiat ini nak puaskan hati siapa? Non-muslimkah? kononnya sebab kita masyarakat majmuk? Tidak perlu ikut Islam kah apabila situasinya bersama masyarakat majmuk? 

Yang kedua adalah dari instructor senamrobik. Mereka menyanyi lagu Malaysia Boleh! dan memberitahu kita boleh melakukan aktiviti tersebut kalau kita fikir kita boleh buat. Maaf, syariat Islam bukan berdasarkan kepala otak kita sendiri, dalam semua benda (bukan acara keagamaan sahaja) kita boleh buat kalau Islam bagi buat dan sebaliknya.

Ketiga adalah dari pihak yang menyampaikan cenderahati kepada jemputan . Pihak tersebut sefaham saya menganjurkan bacaan Yaasin pada pagi Jumaat tetapi mereka juga nampak senang hati bahkan memberi hadiah kepada playmaker program yang bertukar menjadi maksiat itu! Adakah bila pagi Jumaat ikut agama pagi senaman tidak perlu lagi?

Strategi Barat, Yahudi dan orang kafir selalunya menjadikan orang Islam sendiri sebagai alat propaganda mereka. Selalunya lebih berkesan dan umat Islam lebih mudah terpedaya.

Tuesday, July 3, 2012

Dr. Morsi menang turut beri kesan kepada pelajar guru i4p

Surah Ali Imran; Ayat 140

###

Setelah sekian lama pilihan raya Mesir berlangsung, akhirnya kita menerima berita kemenangan Dr. Morsi sebagai presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan. Saya mengikuti detik pengumuman rasmi tersebut melalui siaran langsung di internet.

Sejurus sahaja 'SPR' (meminjam nama suruhanjaya pilihanraya malaysia) mengumumkan kemenangan Dr. Morsi sebagai Presiden Mesir yang sah, berderet-deret status rakan-rakan di 'facebook' menyatakan perasaan gembira & meraikan kemenangan ini.

Penuh dengan ucapan takbir, tahmid & sebagainya. Ucapan tersebut adalah dari seluruh dunia. Dari Mesir, Jordan, UK, Jepun, Kelantan, Johor, UIAM, USM dan termasuk juga rakan-rakan pelajar guru di IPG KPP. <=== (",) Oh, mengapa i4p juga??

Seluruh dunia islam menantikan kemenangan ini. Kenapa ia diraikan? kerana mereka orang Islam. Dr. Morsi juga orang Islam. Bukankah mendoakan kebaikan untuk saudara seislamnya itu satu kebaikan? Ia dituntut oleh agama bukan.. Ya , itu memang betul.

Tapi Ahmed Syafik juga orang islam, kenapa sebahagian besar umat islam di seluruh dunia termasuk 51% ++ pengundi Mesir itu memusuhi mereka? Kenapa pelajar guru di i4p semuanya update status di 'facebook' mendoakan & meraikan kemenangan Dr. Morsi sahaja, tidak saudara islam mereka yang satu lagi, Ahmed Syafik?

Kerana dia adalah sekutu Hosni Mubarak yang zalim itu. Memang namanya muslim tapi muslimnya adalah muslim yang tidak baik. Yang tidak menjunjung syariat Allah bahkan menentangnya. Orang sebegitu memang patut kita tentang bahkan siapa yang berdiam diri tidak memberi undi kepada dua-dua pihak itu juga dikira zalim. Kerana ia tidak menyokong yang hak sekaligus membuka peluang kepada yang batil untuk menang.

(tapi hairan juga ya, lebih kurang 12 juta pengundi Mesir masih mengundi untuk puak-puak Hosni Mubarak itu?  #takpalah, sekurang-kurangnya kita ingat Allah kata yg mafhumnya: Sesungguhnya kamu tak boleh nak bagi hidayah kat siapa2 yg kamu suka. Allah saja yang boleh beri hidayah# )

Ya, itulah antara sebabnya pelajar guru yang cakna dengan perkembangan agama islamnya begitu seronok menerima berita baik ini. Tapi mereka yang menyusuri galur sejarah yang panjang menemui sesuatu yang lebih daripada itu. Ia adalah suatu perkara yang menggembirakan. Namun kadang-kadang mencemaskan.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran; ayat 140 (ayat mukaddimah saya di atas)
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka Sesungguhnya kaum (musyrik Yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka Yang sama (dalam peperangan Badar). dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan Dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang tetap beriman (dan Yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang Yang mati Syahid. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang Yang zalim.

Hidup ini ibarat roda, kadang-kadang di atas dan kadang-kala di bawah. Maka para pejuang Islam itu pada suatu ketika Allah menguji mereka dengan tekanan daripada pemerintah, disiksa dan dizalimi, ditekan dengan begitu dahsyat dan hebat. Itulah zaman dimana putaran roda itu giliran mereka berada dibawah.

Langit sejarah yang luas menceritakan bagaimana agungnya zaman pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. sehingga kewafatan baginda, kemudian diteruskan oleh para sahabat Khulafa Ar-Rasyidin. Kemudiannya disambung lagi oleh pemerintahan khilafah Islamiah bahkan pada kemuncaknya mereka berjaya menguasai 2/3 dunia. 

Nama-nama seperti Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh dan lain-lainnya amat menggerunkan mereka yang menentang perjuangan Islam. Pada masa itu putaran roda dunia menunjukkan Islam berada di atas. 

Roda terus berputar menyaksikan bagaimana kemudian Sistem Khalifah runtuh dan tewas satu persatu. Yang terakhir adalah di Turki. Mustafa Kamal Atartuk Laknatullah menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menandakan giliran kemenangan itu telah bertukar. 

Umat Islam terus ditindas ketika itu, secara berterusan. Ulasan satu perenggan nescaya tidak mampu menggambarkan keadaan umat Islam ketika itu saat ia berada dibawah. 

Ujian Allah itu adalah dalam pelbagai bentuk samada kesenangan ataupun kesusahan. Siapa yang berjaya melepasi ujian tersebut merekalah orang yang berjaya.

Kita terus menunggu putaran roda yang terus berjalan. Bilakah akan sampai pula giliran kemenangan bagi pejuang Islam. (adapun secara hakikinya pejuang Islam sentiasa menang dengan takrifan menang itu sebenarnya adalah mencapai taqwa).

Masa terus berlalu, Palestin masih belum dapat dibebaskan. Orang-orang yang zalim terus menguasai pemerintahan di mana-mana negara sehinggalah pada suatu ketika tanda-tanda kemenangan itu dilihat hampir tiba.

Jemaah Islam di Algeria, Front Islamic Salvation (FIS) pada tahun 90-an hampir mencapai kemenangan tersebut namun akhirnya dinafikan dan kumpulan mereka diharamkan. Pada awalnya sebahagian pemerhati politik dunia melihat kebangkitan Islam di Algeria itu adalah tanda kebangkitan Islam di tempat-tempat lain namun akhirnya ia tidak berlaku. Penindasan umat Islam terus didengari saban hari. Palestin tetap juga belum merdeka.

Sehinggalah mutakhir ini kita melihat gerakan islam antaranya di Turki melalui kumpulan mereka yang dikenali sebagai AKP dan harakah islamiyyah di Indonesia, PKS berjaya menguasai pemerintahan di negara masing-masing.

Itulah yang ditunggu-tunggu di dalam dunia Islam serta menjadi kebimbangan Barat apabila yang terbaru Ikhwanul Muslimin, (IM) berjaya mendapatkan pemerintahan Mesir menggantikan sekutu mereka Hosni Mubarak. (disamping tergulingnya sekutu mereka di negara-negara Arab lain dalam fenomena Arab Spring)

Dengan kemenangan IM ini dilihat roda putaran Islam itu semakin hampir untuk berada di atas. Dr. Mohamed Morsi sudah menyatakan kesediaannya untuk memberi komitmen terhadap isu Palestin & umat Islam serta disokong oleh Erdogan di Turki. 

Itulah sebabnya mengapa bukan hanya orang-orang Islam di Mesir sahaja yang menunggu-nunggu kemenangan ini. Kemenangan ini milik seluruh umat Islam. 

Malaysia tidak ketinggalan menyaksikan Islam semakin diagungkan oleh penganutnya. Gerakan Islam di Malaysia semakin mendapat tempat dengan bukti sokongan yang mereka tunjukkan semakin meningkat. Carilah apa-apa sumber yang anda yakini untuk menguatkan kenyataan saya itu.

Apabila roda Islam itu semakin berputar menuju puncaknya, maka berpautlah dengannya. Mereka yang berada bersama-sama dengan perjuangan Islam ini pastinya akan beruntung. Usahakanlah untuk berada bersama dengannya.

Masuk dan tumpanglah perjalanan ini kerana ia menuju kepada puncak putaran yang ditunggu-tunggu sekian lama. Roda putaran kemenangan Islam tidak meletakkan kampus di Bukit Combee sebagai kawasan berkecuali yang tidak terlibat dengan arus ini. Pelajar guru di i4p patut sedar bahawa Islam semakin bangkit di sekeliling mereka.

Maka sesiapa yang berada bersama gerakan Islam nescaya mereka menuju kemenangan dan keuntungan. Justru, apakah gerakan Islam di kampus ini yang patut kita bersama-sama mereka? Tentulah Persatuan Agama Islam, PAI.

Bersamalah dengan Islam dan gerakan ini. Mereka yang terus menjauhkan diri, segan dan punya banyak alasan untuk menyisihkan diri akan berada dalam kerugian. Mereka yang terus berseluar pendek main bola, couple tanpa hubungan yang sah, bergaduh sesama sendiri, tinggal solat dan sebagainya tidak akan berfaedah untuk mereka.

Perubahan lanskap politik dunia memberikan pengajaran buat kita untuk terus melakukan perubahan. Kebenaran semakin hampir untuk berada di puncaknya dan kebatilan akan tewas! Islahkan diri anda dan orang yang anda sayang. 

Firman Allah dalam Surah Ali Imran; Ayat 137

137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah Yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah Bagaimana akibat orang-orang Yang mendustakan (Rasul-rasul).

Wallahua'lam...